Rabu, 13 Jun 2018 | 5:26pm

Pengawal keselamatan maut tercampak

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut sebaik tercampak jatuh dari ketinggian lebih 10 meter selepas motosikal ditunggangi merempuh pembahagi konkrit di Bulatan Batu Caves, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas pada jam 9.50 pagi itu, Ranjit Singh Balbir Singh, 45, yang menunggang motosikal Honda EX5, maut di lokasi kejadian.

Sementara pembonceng, Umar, seorang warga Pakistan cedera dan dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahaya, berkata mangsa dalam perjalanan dari arah Kepong menghala Selayang ketika kemalangan berlaku.

"Hasil siasatan awal, kita percaya penunggang motosikal berkenaan terbabas di lorong paling kiri sebelum melanggar pembahagi jalan menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak jatuh di atas jalan raya.

"Mangsa bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekitar Kepong baru selesai giliran bertugas.

"Penunggang disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Hospital Selayang manakala pembonceng dikejarkan ke Hospital Selayang dan masih menerima rawatan di Zon Merah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, mangsa maut berikutan parah pada kepala manakala seorang lagi cedera pada dada dan kepala.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X