Khamis, 14 Jun 2018 | 10:36am
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, pagi ini. - Foto ihsan bomba dan pembaca
KEADAAN kereta Perodua Kancil yang terperosok dalam longkang di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, pagi ini. - Foto ihsan bomba dan pembaca
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, pagi ini. - Foto ihsan bomba dan pembaca

Wanita maut kereta terperosok dalam longkang

KUALA KRAI: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terperosok dalam longkang di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini, pagi ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa Hasmah Yusuf, 45, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Suami dan lima anaknya mengalami kecederaan dan menjalani rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata ketika kejadian mangsa dan keluarga yang menaiki kereta Perodua Kancil dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Manek Urai, di sini.

"Berdasarkan keterangan salah seorang anak mangsa, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terperosok di dalam longkang.

"Pemandu kereta maut ketika menerima rawatan di wad kecemasan di HKK manakala suami serta lima anaknya yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X