Selasa, 19 Jun 2018 | 11:02am
BEKAS EXCO kerajaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie menyiram air mawar di atas pusara anaknya, Muhammad Izzat Husairi di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu. - Foto Baharom Bakar

'Dia sempat minta maaf, cium dahi ibu'

KUALA TERENGGANU: "Sebelum keluar rumah semalam, beberapa kali dia salam dan meminta maaf dengan saya serta ibunya, tetapi kami tak fikir apa-apa kerana dia suka bergurau," kata bekas EXCO kerajaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie.

Beliau berkata, anaknya, Muhammad Izzat Husairi, 17, yang maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Zainal Abidin, dekat Kampung Tanjung di sini, petang semalam, juga beberapa kali mencium dahi dan pipi ibunya, Toh Puan Zaimah Abd Aziz sebelum keluar rumah.

Penuntut Kolej Vokasional Wakaf Tembusu, di sini, itu maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha 125ZR ditungganginya hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta.

Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Muhammad Izzat yang juga atlet memanah negeri dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Losong Haji Long, di sini, selepas beraya di sekitar bandar raya ini.

"Arwah keluar kira-kira jam 2 petang selepas solat Zohor dan bersalaman lebih tiga kali sambil meminta maaf dengan saya serta ibunya serta mencium dahi ibunya sebelum keluar, sedangkan dia tak pernah berbuat begitu.

"Bagaimanapun, kami tak fikir apa-apa yang pelik kerana arwah suka bergurau.

"Saya tak sangka ia petanda dia akan pergi meninggalkan kami selamanya," katanya selepas pengebumian Allahyarham Muhammad Izzat di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, di sini, jam 1 pagi tadi.

Mohd Jidin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri berkata, walaupun terkejut dengan kejadian itu, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi.

Yang turut hadir pada majlis pengebumian itu, ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman; ADUN Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor, Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri, Zainal Abidin Hussin dan Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Badrul Hisham Zaki.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta yang tiba-tiba cuba memotong kereta lain di kawasan simpang tiga berhampiran sebuah pasar raya di Kampung Tanjung.

Katanya, perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh dan parah pada tubuh serta dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik HSNZ sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X