X
Khamis, 21 Jun 2018 | 6:47pm
SEBAHAGIAN sepucuk pistol jenis Revolver dan 4 butir puluru yang di rampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan. - Foto Ihsan Polis
SEBAHAGIAN sepucuk pistol jenis Revolver dan 4 butir puluru yang di rampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan. - Foto Ihsan Polis

Polis tahan lelaki, rampas pistol, 4 peluru

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki yang dikehendaki dalam kes berkaitan dadah dan merampas sepucuk pistol berisi empat butir peluru di Jalan Kuning, Taman Pelangi, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Peronda Polis (MPV) pada jam 12.30 pagi, selepas mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan, katanya, polis menemui pistol jenis Revolver Smith & Wesson berisi peluru di dalam beg yang disimpan dalam `dashboard' (papan pemuka) kereta terbabit.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes rompak dan dadah, selain turut dikehendaki dalam dua kes dadah.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif penggunaan dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, suspek direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8/8A Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X