Jumaat, 22 Jun 2018 | 12:45pm

Menyamun dengan berseluar dalam

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh yang memecah masuk sebuah rumah dengan hanya berseluar dalam di Jalan Sungai Kampung Puah, Lembah Gombak di sini mengundang padah apabila dia ditahan orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, suspek dikatakan memecah masuk ke dalam rumah tersebut melalui tingkat dapur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek berusia 43 tahun itu dikatakan membuka baju dan seluarnya sebelum masuk ke rumah berkenaan kerana bimbang pakaiannya tersangkut di tingkap dapur rumah mangsa.

Menurutnya, suspek berjaya mengambil beg tangan dan dompet yang mengandungi kad pengenalan milik isteri dan anak-anak mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

"Suspek yang hanya memakai seluar dalam terus berjalan kaki keluar dari rumah mangsa sebelum kegiatannya disedari jiran mangsa yang kebetulan sedang berbual bersama beberapa rakan di luar rumahnya.

"Suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan terus ditahan sebelum kumpulan lelaki berkenaan lalu memaklumkan kejadian kepada mangsa," katanya ketika dihubungi disini, hari ini.

Mohamad Roy berkata, susulan daripada itu, mangsa melakukan pemeriksaan di dalam rumahnya dan mendapati besi tingkap dapur dipatahkan dan beberapa keping cermin tingkap tersebut telah ditanggalkan.

"Ekoran itu, mangsa terus menghubungi pihak polis sebelum menyerahkan suspek untuk tindakan seterusnya.

"Semakan lanjut ke atas suspek, ini merupakan kali pertama suspek melakukan kegiatan pecah rumah dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X