Sabtu, 23 Jun 2018 | 2:31pm

Kempunan tak dapat kereta, duit pula lesap

KAJANG: Bukan sahaja kempunan untuk memiliki sebuah kereta, malah dua individu turut kerugian ribuan ringgit selepas diperdaya seorang ejen penjual kereta terpakai.

Modus operandi suspek ialah meminta agar mangsa membuat bayaran penuh terus ke akaun peribadi miliknya.

Selain itu, suspek turut mengambil wang deposit pertama daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof , berkata pihaknya masih memburu suspek yang disyaki terbabit selepas menerima tiga laporan polis.

Katanya, dua laporan itu diterima daripada dua-dua mangsa sementara satu laporan diterima daripada syarikat kereta terpakai tempat suspek bekerja.

"Pada pertengahan April 2018, pengadu ke sebuah premis menjual kereta terpakai untuk membeli Perodua Myvi dan membayar wang deposit sebanyak RM1,500.

"Pengadu kemudian menyerahkan lagi RM500 wang deposit kepada suspek sebelum membuat bayaran penuh sebanyak RM6,000 kepada akaun milik suspek.

"Beberapa hari kemudian, pengadu datang ke kedai berkenaan dan berjumpa dengan majikan suspek yang memaklumkan pengadu baru membuat bayaran sebanyak RM500," katanya dalam satu kenyataan.

Dzaffir berkata, mangsa kedua juga diperdayakan dengan menggunakan cara yang sama.

Katanya, jumlah keseluruhan kerugian adalah dianggarkan sebanyak RM12,700. Siasatan masih dijalankan hingga kini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X