Selasa, 26 Jun 2018 | 2:35pm
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Tudan, Miri. - Foto Ihsan BOMBA

Rumah tinggal musnah terbakar

MIRI: Sebuah rumah tinggal yang dijadikan stor barang, musnah dalam kebakaran di Kampung Tudan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, sebuah rumah berhampiran turut terjejas, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Penduduk, Sim Siew, 28, berkata ketika kejadian, dia bersama keluarganya berada di ruang tamu rumahnya sebelum terhidu bau asap.

Dia kemudian bergegas memeriksa keadaan di luar rumahnya sebelum melihat rumah tinggal bersebelahan terbakar.

"Saya bergegas keluar bersama anak-anak untuk menyelamatkan diri dan meminta bantuan orang awam.

"Selain tindakan pantas anggota bomba, orang ramai turut membantu memadamkan kebakaran. Hanya bahagian bilik rumah saya terjejas," katanya ketika ditemui NSTP di kediamannya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 10.37 pagi.

"Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada jam 11.20 pagi. Semua penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri dan tidak cedera," katanya.

Setakat ini, katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Berita Harian X