Selasa, 26 Jun 2018 | 4:27pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Lelaki tak bayar tol RM900 akhirnya terperangkap

KUALA LUMPUR: Kesesakan trafik akhirnya memerangkap seorang lelaki yang sebelum ini licik meloloskan diri daripada membayar tol apabila ditahan di lorong Smart TAG Plaza Tol Sungai Besi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, pemandu kereta PROTON Saga berkenaan tidak sempat melepasi palang tol apabila ia diturunkan sejurus kenderaan di depan melepasinya.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu sebelum ini menggunakan taktik mengekori rapat kenderaan di depan untuk mengelak membayar tol dengan cara memecut kereta dipandunya selepas palang tol diangkat.

Bagaimanapun, kali ini nasib tidak menyebelahinya apabila dia tidak sempat melepasi palang itu berikutan trafik bergerak perlahan di plaza tol berkenaan akibat kesesakan.

Sumber berkata, pekerja plaza tol yang curiga melihat tindakan pemandu terbabit 'meluru' ketika kereta di depannya bergerak melepasi palang bertindak menahannya.

"Pekerja plaza tol itu kemudian memintanya keluar dari kenderaan dan selepas semakan nombor pendaftaran dibuat, kereta lelaki terbabit didapati mempunyai rekod beberapa kali lari daripada membayar tol dianggarkan berjumlah RM900.

"Lelaki itu juga dipercayai kerap menggunakan laluan berkenaan dan sudah banyak kali dia berjaya mengelak daripada membayar tol.

"Bagaimanapun, kali ini dia tidak bernasib baik apabila terperangkap kerana kesesakan trafik yang menyebabkan kenderaan di depannya bergerak perlahan," katanya.

Katanya, pemandu terbabit kemudian ditahan pihak pengurusan plaza tol berkenaan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, pihak pengurusan plaza tol berkenaan ketika dihubungi, di sini, hari ini, hanya memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat dan enggan mengulas lanjut.

Berita Harian X