Jumaat, 29 Jun 2018 | 11:59am
MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (berbaju Melayu) sedang menghubungi piak berkuasa bagi membantu mangsa kemalangan di susur keluar Tambun menghala PLUS pagi tadi.
Ahmad Faizal Azumu (berbaju Melayu) ketika berada di lokasi nahas di susur keluar Tambun menghala PLUS pagi tadi.

MB Perak bantu wanita kemalangan

KUALA KANGSAR: Kesibukan tugas sebagai Menteri Besar Perak tidak menghalang Ahmad Faizal Azumu, untuk membantu seorang pengguna jalan raya yang terbabit kemalangan pagi tadi.

Kejadian membabitkan kereta dipandu seorang wanita itu dikatakan berlaku ketika hujan pagi tadi.

Perkara itu dikongsi EXCO Kerajaan Negeri yang juga ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, menerusi akaun rasmi Facebooknya, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Beliau berkata, lokasi kejadian ialah di susur keluar Tambun menghala PLUS.

Berdasarkan perkongsian itu, Hasnul Zulkarnain memaklumkan, beliau bersama Menteri Besar dalam perjalanan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri sebelum tiba-tiba menyedari kemalangan itu dan berhenti untuk membantu mangsa.


MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (berbaju Melayu) yang dalam perjalanan ke Pejabat SUK negeri, berhenti untuk membantu mangsa kemalangan di susur keluar Tambun menghala PLUS pagi tadi.

"Dalam perjalanan ke Pejabat SUK, saya dan YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, membantu mangsa kemalangan di susur masuk ke lebuh raya," katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar kemudian mengambil tindakan dengan mententeramkan mangsa serta membantu mendapatkan trak penunda bagi menguruskan kenderaan wanita terbabit.

Beberapa keping gambar turut dimuatnaik memperlihatkan Ahmad Faizal lengkap berbaju Melayu dan bersamping membantu mangsa, termasuk menggunakan telefon bimbit dikatakan untuk menghubungi trak penunda.


MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (berbaju Melayu) bertanya kepada pemandu kereta yang terbabit dalam nahas di susur keluar Tambun menghala PLUS pagi tadi.

Hasnul Zulkarnain dalam pada itu turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu terutama pada waktu hujan bagi mengelakkan kemalangan.

Sementara itu sumber pegawai media Menteri Besar Perak ketika dirujuk mengesahkan kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi di susur keluar Tambun menghala Lebuhraya Utara-Selatan.

Wanita terbabit juga dimaklumkan tidak mengalami kecederaan, kecuali masih terkejut.

27 dibaca
Berita Harian X