Rabu, 11 Julai 2018 | 10:21am

Jamal mengaku salah, didenda RM400

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda maksimum RM400 terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengaku bersalah atas pertuduhan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di pintu pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, tahun lalu.

Tertuduh yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan pintu pagar keluar Pos (1) Bangunan SUK Darul Ehsan, jam 10.15 pagi, 5 Oktober tahun lalu.

Jamal, 48, didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Haziqah Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Imran Tamrin.

Terdahulu, Mohd Imran memohon jumlah denda dikurangkan kepada RM50 dengan alasan perbuatan itu dilakukan hanya sekadar gimik bagi membantah pesta arak 'Oktober Fest' yang bakal berlangsung di negeri ini.

"Tujuan sebenar gimik itu dilakukan atas kepentingan awam walaupun ia mendatangkan bahaya. Pada pendapat beliau (Jamal), meminum arak kesannya lebih bahaya daripada gimik yang dilakukan itu," katanya.

Namun, Amirah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira posisi Jamal sebagai individu yang dikenali dan memberi pengajaran akan kesalahan dilakukannya.

Sementara itu, puluhan penyokong Jamal dilihat hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan, seawal jam 8 pagi.

44 dibaca
JAMAL (tengah) didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, kerana memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) tahun lalu. - Foto BERNAMA
Berita Harian X