Khamis, 12 Julai 2018 | 9:35pm
Pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di dalam peti sejuk di rumah wanita itu di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini, pada 3 Julai lalu, akan didakwa esok. . - Foto BERNAMA

Pengasuh Adam Rayqal didakwa esok

GOMBAK: Pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di dalam peti sejuk di rumah wanita itu di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini, pada 3 Julai lalu, akan didakwa esok.

Wanita berusia 33 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di sini.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada wanita berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau sebaliknya.

Adam Rayqal yang dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah pengasuhnya kira-kira jam 11 malam pada 3 Julai lalu.

Mayat Adam Rayqal yang disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau ditemui anggota polis yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

Berikutan itu, polis menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya berusia 36 tahun bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, rakan serumah pengasuh terbabit dibebaskan dengan jaminan polis kerana tiada kaitan dengan kes itu.

Hasil bedah siasat terhadap mayat bayi itu menemui kesan retak pada tempurung kepala sebelah kiri serta pendarahan di bahagian kanan otak yang menjadi punca kematian.

Berita Harian X