Khamis, 19 Julai 2018 | 7:04pm

Pengumpul besi buruk berdepan hukuman gantung

MELAKA: Seorang pengumpul besi buruk didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemilik bengkel kereta, minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hasan Masala, 40, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Koo Kar Chung, 56, di sebuah bengkel membaiki kereta di Taman Malim Jaya, antara jam 7 hingga 7.30 pagi, pada 8 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria yang melakukan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dengan alasan kesalahan membabitkan hukuman gantung.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dua individu, termasuk seorang wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pengusaha bengkel kenderaan yang ditemui mati dipercayai dibunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris dilaporkan berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan sepasukan anggota polis di Kampung Bakar Batu, Bachang, Batu Berendam, pada 9 Julai lalu.

42 dibaca
Tertuduh seorang pengumpul besi buruk, Hasan Masala, 40, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tuduhan membunuh seorang pemilik bengkel kereta ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X