Sabtu, 21 Julai 2018 | 4:54pm
AHLI keluarga Nabil Fikri Anwar tiba selepas kematian anaknya, Naufal Amsyar di Hospital Pakar Sultanah Fatimah. - Foto Adi Safri

Kes Naufal: Polis tunggu laporan bedah siasat

MUAR: Polis masih menunggu laporan bedah siasat punca kematian seorang bayi, Naufal Amsyar, 10 bulan dan pada masa sama mengumpul pelbagai bukti baharu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri ketika dihubungi berkata, polis menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca kematian bayi berkenaan.

"Kami masih menjalankan siasatan dan pada masa sama, menunggu hasil laporan bedah siasat ke atas mayat bayi itu yang akan dijalankan esok.

"Sehingga kini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, sepasukan polis dilihat pergi ke rumah pengasuh bayi berkenaan di Taman Sialang, Tangkak, kira-kira jam 3 petang tadi, dipercayai untuk menjalankan siasatan susulan.

Bagaimanapun, pasukan berkenaan enggan memberikan sebarang kenyataan untuk mengelak mengganggu siasatan dan berharap orang ramai memberikan masa kepada polis menjalankan siasatan tanpa membuat sebarang andaian.

Selasa lalu, bayi malang berkenaan dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah selepas dirujuk daripada Hospital Tangkak apabila pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.

Bayi itu dipercayai terjatuh daripada buaian sebanyak dua kali ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, Tangkak.

Susulan itu, seorang wanita berusia 35 tahun yang juga pengasuh Naufal kini ditahan reman selama empat hari berakhir esok (Ahad) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

53 dibaca
Berita Harian X