Selasa, 24 Julai 2018 | 3:01pm

'Patutlah bergaya, hidup mewah'

LANGKAWI: Gaya hidup mewah seorang lelaki terbongkar selepas dia ditahan bersama 3.28 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM100,000 di Kampung Nyiur Chabang Atas, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 pagi itu, suspek berusia 23 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi ketika sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata polis yang melakukan intipan berjaya menangkap suspek ketika sedang berehat di dalam bilik kediamannya.

Katanya, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal selepas rumah berkenaan sudah dikepung pihak berkuasa.

"Pemeriksaan dalam bilik yang dihuni suspek menemui satu beg galas mengandungi lapan paket plastik lutsinar yang diisi dadah heroin seberat 3.28 kg.

"Turut dirampas wang tunai RM1,200 bersama peralatan seperti gunting, sudu, alat pelekat plastik dan dua penimbang digital," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek dan kesemua barangan yang dirampas dibawa ke IPD Langkawi untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek sudah ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Bagi kes sitaan wang tunai pula suspek disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada jam 4.30 pagi tadi, beliau berkata, seramai tiga lelaki berusia antara 22 hinga 29 tahun ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis heroin dan syabu seberat 41.7 gram (g).

"Berdasarkan risikan seminggu, polis menahan tiga suspek di sebuah resort di Pantai Chenang yang dipercayai menjadi lokasi mereka menghisap dadah.

"Dalam serbuan itu, polis menemui sembilan paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 36.7 g dan satu paket dadah syabu seberat lima gram," katanya.

Beliau berkata, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

MOHD Iqbal (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian 3.28 kilogram heroin yang dirampas daripada seorang tokan dadah berusia 23 tahun di Kampung Nyiur Chabang Atas, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
Berita Harian X