Jumaat, 27 Julai 2018 | 4:01pm

Dipenjara dua tahun siram air panas terhadap ibu

KUALA LUMPUR: Padah menyiram air panas ke atas ibu kandung yang juga orang kurang upaya (OKU), seorang pemandu lori mendapat pembalasannya apabila dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Lai Kim, 36, selepas lelaki itu mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan jurubahasa kepadanya dalam bahasa Mandarin.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 17 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Leong Ah Hua, 65, menggunakan air panas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan 9/32, Taman Jinjang Baru, di sini pada jam 10 pagi, 17 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 326(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothy, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya atas alasan dia menyara isteri, anak yang berusia dua bulan, serta ibu bapa yang sudah tua.

"Saya mohon hukuman pemenjaraan yang minimum kerana saya ingin pulang ke pangkuan keluarga dan menyara mereka. Saya betul-betul insaf," katanya.

Joy Jothy bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa dalam kes ini adalah ibu kandung tertuduh sendiri.

"Tertuduh telah menyiram air panas ke atas ibu kandung yang melahirkannya. Ibuya juga seorang OKU yang kudung tangan kanan.

"Mohon mahkamah beri hukuman setimpal untuk beri pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat," katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian berlaku perselisihan faham antara tertuduh dengan ibunya berpunca daripada tindakan lelaki itu meminta wang, namun mangsa tidak memberikannya.

Disebabkan rasa marah, tertuduh menyiram air panas yang berada di dalam cawan ke belakang bahagian tengkuk sehingga mangsa melecur di bahagian leher.

Mangsa juga ditampar dibahagian pipi kiri selain tertuduh mengambil dompet milik mangsa.

53 dibaca
Berita Harian X