Rabu, 1 Ogos 2018 | 9:16pm
ANTARA pelajar MRSM Taiping yang menerima rawatan di Hospital Taiping dipercayai akibat keracunan makanan. - Foto L Manimaran
ANTARA pelajar MRSM Taiping yang menerima rawatan di Hospital Taiping dipercayai akibat keracunan makanan. - Foto L Manimaran

Keracunan makanan di MRSM Taiping berulang

IPOH: Bilangan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping yang mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan di sekolah itu kini mencapai 103 orang.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming, berkata maklumat awal kes keracunan makanan membabitkan pelajar sekolah itu diterima pihak Pejabat Kesihatan (PKD) Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) pagi tadi.

Katanya, laporan dibuat pihak MRSM itu memaklumkan terdapat pelajar yang mengalami gejala muntah dan cirit-birit.

"Siasatan pihak PKD LMS mendapati terdapat 103 pelajar mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah.

"Rawatan awal diberikan kepada pelajar dan pelajar yang memerlukan rawatan lanjut diarahkan dibawa ke Hospital Taiping.

"Kesemua kes diberikan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada yang dimasukkan ke wad," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini malam ini.

Lay Ming berkata, punca keracunan berkenaan masih dalam siasatan dan berikutan kejadian itu, premis dapur asrama MRSM berkenan ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Kes keracunan makanan di MRSM Taiping itu adalah kali kedua dalam tempoh tiga minggu dengan kejadian pertama berlaku pada 12 Julai lalu membabitkan 31 pelajar.

Berita Harian X