Jumaat, 3 Ogos 2018 | 3:22pm

Rumah sewa jadi makmal proses heroin

KAJANG: Polis menahan seorang lelaki yang menjadikan rumah sewanya di Taman Cheras Idaman, di sini, sebagai makmal memproses dadah jenis heroin, pada 31 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya membuat serbuan di rumah berkenaan pada jam 10.30 malam selepas menerima maklumat hasil risikan dilakukan.

"Pemeriksaan di rumah sewa berkenaan, kami menemui 785 gram heroin yang diletakkan di atas lapisan surat khabar pada meja di dalam rumah sewa suspek berusia 33 tahun itu.

"Selain itu, kami turut menemui satu paket syabu dan heroin di dalam bungkusan lut sinar. Semua rampasan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM65,800," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turut merampas bahan mentah dan kimia serta peralatan dapur yang digunakan bagi memasak dadah jenis heroin.

"Suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan memproses dan mengedar dadah sejak dua tahun lalu.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methaphetamine dan morfin.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula 1 hingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

AHMAD Dzaffir Mohd Yusoff (dua kanan) menunjukkan peralatan yang dirampas pada sidang media mengenai penemuan makmal memproses dadah di sebuah rumah sewa di IPD Kajang. - Foto Rosela Ismail
Berita Harian X