Sabtu, 4 Ogos 2018 | 9:45pm
PENUNGGANG motosikal, Ong Kim Hong maut apabila digilis treler dalam kejadian selepas bulatan Kampung Pandan menghala Jalan Tun Razak.

Penunggang motosikal maut digilis treler

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah treler berhampiran tapak pembinaan Tun Razak Exchange (TRX), di sini, petang tadi.

Mangsa, Ong Kim Hong, 58, dari Bandar Sri Manjalara, Kepong, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan parah pada kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata dalam nahas kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dikatakan bergesel dengan treler ketika berada di lorong kiri laluan dua lorong menghala Jalan Tun Razak.

Katanya, akibat pergeselan itu, mangsa terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya sebelum digilis treler berkenaan.

"Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal berseorangan baru melepasi bulatan Kampung Pandan dan menghala ke Jalan Tun Razak," katanya ketika dihubungi di sini.

Zulkefly berkata, sehingga kini tiada saksi tampil memberi keterangan dan siasatan juga mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian," katanya.

Berita Harian X