Isnin, 6 Ogos 2018 | 7:28pm
Rampasan monyet marmoset dan burung seludup disembunyikan di sebuah bengkel kenderaan di Jelebu, Negeri Sembilan oleh pihak Perhilitan. - Foto ihsan Ahli Keluarga

Padah simpan haiwan dilindungi

KUALA LUMPUR: Tindakan dua lelaki tempatan menyembunyikan hidupan liar di kawasan bengkel kereta buruk mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa

Serbuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di sebuah premis di Jelebu di sini, jam 4.30 petang kelmarin, antara lain menemui spesies monyet disyaki marmoset yang berasal dari hutan hujan di Amerika Selatan.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya terlebih dulu melakukan risikan susulan maklumat diterima.

Menurutnya, pemeriksaan mengejut kemudian dilakukan oleh anggota PERHILITAN Negeri Sembilan di bengkel itu sebelum pihak PERHILITAN menemui lima ekor disyaki monyet spesies marmoset diletakkan di dalam sangkar di bengkel itu.

“Monyet ini dipercayai dibawa masuk ke negara ini secara haram. Kebiasaannya monyet ini ditemui di hutan Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, Paraguay dan Peru di Amerika Selatan.

“Selain monyet yang kerap ditangkap untuk dibela sebagai haiwan peliharaan ini, kita juga menemui seekor burung kakatua spesies jambul kuning, dua ekor kakatua spesies electus dan dua ekor disyaki burung serindit.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat keraguan terhadap hidupan liar yang disimpan. Suspek ditahan berusia 31 tahun 39 tahun didapati menyimpan semua hidupan liar dilindungi itu tanpa lesen selain lesen sudah tamat tempoh, kesemua haiwan disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kadir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, PERHILITAN turut menyiasat video sepanjang 15 saat menunjukkan seorang gadis memukul dan mendera dengan menepuk serta menampar kepala monyet peliharaannya berulang kali sehingga perbuatan keterlaluan sengaja menyeksa binatang itu mendapat kecaman netizen.

Malah, gadis berusia sekitar 20-an itu turut bertindak mencekik leher haiwan terbabit seolah-olah mahu melepaskan geram terhadap monyet yang dipercayai menjadi haiwan peliharaannya berikutan terdapat tali biru dipasang pada leher haiwan berkenaan.

Kadir berkata, pihaknya memandang serius perbuatan gadis terbabit yang sengaja memukul haiwan peliharaan.

"Siasatan kini sedang dilakukan bagi mengenal pasti identiti gadis yang menjadi viral itu, dia boleh dianggap melakukan kezaliman dan boleh didakwa mengikut mengikut Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X