Jumaat, 10 Ogos 2018 | 8:21am
SEORANG bayi lelaki dipercayai didera pengasuh dan mengalami patah tangan di Seri Iskandar. - Foto PDRM
SEORANG bayi lelaki dipercayai didera pengasuh dan mengalami patah tangan di Seri Iskandar. - Foto PDRM

Bayi 3 bulan patah tangan dipercayai didera

SERI ISKANDAR: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan patah tangan kanan dipercayai didera ketika dalam jagaan pengasuhnya di Seksyen Dua, di sini.

Bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Seri Manjung.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata polis menahan pengasuh wanita berusia 46 tahun berkenaan semalam selepas menerima laporan polis dibuat bapa bayi berkenaan pada jam 11.04 pagi.

“Berdasarkan laporan itu, bapa mangsa mengambil mangsa di rumah pengasuh di Seksyen Dua dan bertanyakan mengenai keadaan tangan anaknya itu.

“Bagaimanapun suami suspek memaklumkan tangan mangsa terseliuh sebelum membawa mangsa mendapatkan rawatan ke Hospital Changkat Melintang.

“Doktor kemudian merujuk mangsa ke Hospital Seri Manjung dan dimaklumkan tangan mangsa mengalami kesan dipulas dipercayai didera sehingga mengakibatkan patah tulang,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Wanita berkenaan ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Berita Harian X