Jumaat, 10 Ogos 2018 | 4:28pm

Bayi didera pengasuh stabil

SERI MANJUNG: Bayi lelaki berusia tiga bulan yang patah tangan kanan dipercayai didera ketika dalam jagaan pengasuhnya di Seksyen Dua, Seri Iskandar di Bota, berada dalam keadaan stabil.

Bayi berkenaan yang kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM), dipercayai didera oleh pengasuh wanita berusia 46 tahun pada Rabu, lalu.

Ibu bayi berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Akma, 28, berkata, hatinya remuk melihat keadaan tangan bayi lelakinya yang membengkak dari lengan sehingga ke pergelangan tangan dan menangis dengan lebih kuat apabila dipegang.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di tempat kerja di Seri Iskandar selepas menghantar bayi lelakinya itu ke rumah pengasuh bersama bapa mentua kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, pengasuh itu kemudian menghubungi suaminya memaklumkan keadaan anak sulung mereka yang dikatakan tidak berhenti menangis sebelum bayi itu diambil dari rumah pengasuh terbabit kira-kira jam 10.45 pagi.

“Luluh hati saya melihat keadaan anak kami ketika itu, namun buat masa sekarang ini saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam siasatan pihak polis.

“Cuma jika benar kejadian ini ada unsur penderaan saya harap ada pembelaan yang sewajarnya untuk bayi kami,” katanya ketika ditemui di HSM di sini, hari ini, namun enggan gambar mereka disiarkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata pengasuh terbabit kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya juga masih menunggu laporan penuh perubatan bayi berkenaan dan wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Berita Harian X