Isnin, 13 Ogos 2018 | 8:46pm

Rayuan kes bunuh suami 18 Oktober

PETRA JAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 18 Oktober depan untuk pendengaran rayuan kes pembunuhan seorang pegawai bank di Sibu, enam tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas seorang daripada tiga panel Hakim, Ravinthiran N Paramaguru, menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Dua lagi panel hakim iaitu Abang Iskandar Abang Hashim dan Harmindar Singh Dhaliwal bersetuju dengan keputusan itu.

Keputusan menarik diri daripada panel hakim berkenaan dibuat kerana Ravinthiran turut terbabit dalam pendengaran kes membabitkan kes penjagaan anak tertuduh.

Abang Iskandar kemudian menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh untuk mendengar rayuan berkenaan.

Ling Hang Tsyr, 37, didakwa bersubahat dalam pembunuhan suaminya, Wong Jing Kui, 31, di rumah mereka di Jalan Ulu Sungai Merah, Sibu, jam 1.30 pagi, 14 Jun 2012

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Roger Chin, berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap keputusan itu.

Mahkamah Tinggi Sibu Oktober tahun lalu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Hang Tsyr selepas didapati bersalah bersubahat membunuh suaminya.

Kerani bank bahagian pemulihan kredit itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan bersama teman lelakinya, Tiong King Guan, 31.

982 dibaca
PEGAWAI penjara mengiringi Ling Hang Tsyr untuk rayuan kes pembunuhan seorang pegawai bank di Mahkamah Kuching. - Foto Jannah Kho
Berita Harian X