Rabu, 15 Ogos 2018 | 1:48pm
ANGGOTA polis bawa keluar Hassan Fazle Mabul (tengah) dari Mahkamah Seksyen Kota Kinabalu selepas dijatuhkan hukuman denda RM800 kerana melanggar peraturan-peraturan imigresen. - Foto Khairull Azry Bidin
ANGGOTA polis bawa keluar Hassan Fazle Mabul (tengah) dari Mahkamah Seksyen Kota Kinabalu selepas dijatuhkan hukuman denda RM800 kerana melanggar peraturan-peraturan imigresen. - Foto Khairull Azry Bidin

Warga Pakistan salah guna pas didenda RM800

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Pakistan didenda RM800 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Hakim Azreena Aziz turut mengarahkan tertuduh Hassan Fazle Mabul, 26, menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Hassan dituduh mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh tanpa alasan munasabah melanggar syarat yang dikenakan berkaitan pas lawatan untuk menjalankan perniagaan di Kedai Runcit Aziz Enterprise, Telipok Ria, Tuaran pada 28 Julai tahun ini.

Terdahulu, peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili tertuduh, meminta mahkamah untuk hanya mengenakan denda terhadap anak guamnya.

“Dia datang ke Malaysia pada 26 April tahun ini dan kemudian menetap di Sabah. Dia kini tinggal bersama sanak saudaranya.

“Ini adalah kesalahan pertama tertuduh, dia tidak mempunyai sebarang kes sebelum ini. Tertuduh mempunyai isteri dan seorang anak perempuan di Pakistan,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Albert Basiri.

Berita Harian X