Isnin, 20 Ogos 2018 | 6:24pm
KETUA Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor (dua kanan) menunjukkan kasut yang digunakan untuk menyeludup dadah sabu pada sidang media Rampasan dan Tangkapan Penyeludupan Dadah Sabu dan Macau Scam di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir
KETUA Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor (dua kanan) menunjukkan kasut yang digunakan untuk menyeludup dadah sabu pada sidang media Rampasan dan Tangkapan Penyeludupan Dadah Sabu dan Macau Scam di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

11,357 ditahan terbabit dadah

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan seramai 11,357 individu yang disyaki terbabit gejala dadah, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 498 orang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah individu ditahan tahun ini meningkat seramai 821.

Katanya, jumlah rampasan dadah membabitkan ganja adalah seberat 276.34 kilogram (kg), syabu (504.62 kg), ecstasy (49.24 kg), heroin (32.75 kg), ketamin (2.11 kg), kokain (117.84 gram), erimin 5 (10,789 biji) dan pil yaaba (5,667 biji) yang dianggarkan bernilai RM45.6 juta.

“Polis juga menahan 95 pengedar dadah mengikut peruntukan ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sehingga kini berbanding 114 orang, sepanjang tahun lalu.

“Bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah, polis menyita wang tunai, kenderaan, hartanah dan bangunan rumah bernilai RM4,622,932.95 mengikut peruntukan ADB (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Mazlan berkata, tangkapan membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta juga menunjukkan penurunan.

Katanya, tangkapan terhadap pelajar IPT awam dan swasta membabitkan kesalahan memiliki dadah dan ujian air kencing positif dadah adalah seramai 108, berbanding 163 tahun lalu iaitu penurunan seramai 55 orang.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 632 warga asing ditahan membabitkan kesalahan dadah berbanding 694 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Tangkapan tertinggi membabitkan warga Indonesia seramai 230 dan diikuti Thailand seramai 107 pesalah,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X