Jumaat, 24 Ogos 2018 | 6:57pm
SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan kritikal dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) akibat pendarahan dalam otak dan mata. - Foto Hazreen Mohamad
SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan kritikal dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) akibat pendarahan dalam otak dan mata. - Foto Hazreen Mohamad

Bayi 4 bulan kritikal akibat pendarahan dalam otak

SEREMBAN: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan kritikal dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di sini, Isnin lalu.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, ketika dihubungi berkata, Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz, mula dihantar ke rumah pengasuh yang dikenali melalui laman Facebook itu kira-kira seminggu sebelum kejadian berlaku.

“Isnin lalu, saya menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu anak saya tidak sedarkan diri. Saya dan suami segera mengambil anak kami dan menghantarnya ke HTJS untuk rawatan dengan segera.

“Keesokan harinya, anak kami dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi Kanak-Kanak (PICU) apabila keadaannya tidak bertambah baik.

“Doktor memberitahu, dia mengalami pendarahan dalam otak serta mata dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan,” katanya.

Kejadian itu menjadi viral di laman Facebook hari ini, apabila seorang lelaki mendakwa doktor turut menemui kesan lebam pada perut serta paha bayi berkenaan dan banyak pihak menyalahkan pengasuh terbabit yang disyaki menderanya.

Ditanya mengenai perkara itu, Zura Emilia berkata, dia tidak mengetahui kejadian itu menjadi viral dan enggan menyalahkan sesiapa buat masa ini.

“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dan sudah membuat laporan polis pada Isnin lalu. Biar polis jalankan siasatan terlebih dulu,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, belum memberi sebarang maklum balas mengenai kejadian berkenaan.

Berita Harian X