Sabtu, 25 Ogos 2018 | 12:18am

Polis tahan pengasuh berkaitan bayi alami pendarahan otak

SEREMBAN: Polis menahan pengasuh yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian seorang bayi empat bulan yang kritikal akibat pendarahan dalam otak serta mata dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata wanita berusia 23 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini, jam 8.45 malam tadi.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Sebelum ini, media melaporkan bayi lelaki bernama Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz, kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di sini, Isnin lalu.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, ketika dihubungi berkata, anak tunggalnya itu, mula dihantar ke rumah pengasuh yang dikenali melalui laman Facebook kira-kira seminggu sebelum kejadian berlaku.

“Isnin lalu, saya menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu anak saya tidak sedarkan diri. Suami segera mengambil anak kami dan menghantarnya ke HTJS untuk rawatan dengan segera,” katanya.

Kejadian itu menjadi viral di laman Facebook hari ini, apabila seorang lelaki mendakwa doktor turut menemui kesan lebam pada perut serta paha bayi berkenaan dan banyak pihak menyalahkan pengasuh terbabit yang disyaki menderanya.

Ditanya mengenai perkara itu, Zura Emilia berkata, dia tidak mengetahui kejadian itu menjadi viral serta enggan menyalahkan sesiapa buat masa ini dan menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X