Sabtu, 25 Ogos 2018 | 11:36am
TAN Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto NSTP

Biar polis buat siasatan - Irwan Serigar

KUALA LUMPUR: "Biarkan polis melakukan siasatan menyeluruh dan berunding dengan semua pihak serta pegawai di bahagian aliran tunai," kata bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah.

Irwan Serigar dalam kenyataannya hari ini berkata, polis tahu kebenaran dan prosedur operasi kewangan yang perlu dipatuhi kedudukan kewangan negara.

"Akhirnya, Allah SWT mengetahui kebenaran dan akan melindungi orang yang tidak bersalah," katanya ringkas.

Terdahulu, minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengemukakan tiga soalan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan salah satunya ialah, jika Najib meluluskan keputusan yang dibuat oleh Irwan untuk tidak memindahkan RM82.9 bilion seperti yang diminta oleh Jabatan Kastam tetapi hanya RM63.5 bilion kepada dana amanah pengembalian CBP.

Dalam pada itu, semalam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi jaminan bahawa mereka akan bekerjasama sepenuhnya dengan pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat penyalahgunaan hutang wang pembayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Seri Sabin Samitah juga mengesahkan kenyataan Guan Eng bahawa terdapat kekurangan penyaluran pulangan cukai yang dikumpul kepada Tabung Amanah Mengembalikan Cukai (TRTF).

Guan Eng, yang juga anggota Parlimen Bagan, mendakwa bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membayar balik lebihan cukai pendapatan dan cukai keuntungan sebenar yang dibayar oleh pembayar cukai berjumlah RM16.046 bilion pada 31 Mei 2018.

Pulangan cukai belum bayar RM16.046 bilion yang tidak dikembalikan membabitkan 1,653,786 kes syarikat, individu, masyarakat dan yayasan.

Beliau berkata, jelas bahawa RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TRTF diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan sebelumnya dan digunakan untuk pelbagai tujuan lain.

151 dibaca
Berita Harian X