Isnin, 27 Ogos 2018 | 1:03pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Keselamatan ASEAN Persatuan Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Selesai isu pelarian Rohingya elak direkrut Daesh

KUALA LUMPUR: Isu pelarian Rohingya perlu ditangani segera kerana mereka berpotensi direkrut sebagai pejuang pengganas Daesh termasuk mereka yang berlindung di negara ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata perkara itu wajar diberi perhatian oleh rakan Malaysia di rantau ini kerana kumpulan itu dilihat berada dalam situasi yang amat terdesak akibat tekanan yang berlaku di Rakhine.

Katanya, isu berkenaan amat besar di rantau Asia Tenggara kerana isu domestik Myanmar sudah merebak ke Malaysia dengan lebih 100,000 pelarian Rohingya berlindung di negara ini dan sebahagian besar lagi berada di Bangladesh dan beberapa negara lain.

“Kita mahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan lebih hebat kerana kita bimbang perkara itu akan mendorong mereka (pelarian Rohingya) terpengaruh dengan ideologi Daesh.

“’Mengambil contoh tekanan dihadapi penduduk Palestin oleh Israel, rakyatnya menggunakan pelbagai cara untuk melawan semula termasuk ada yang mengambil jalan menjadi pejuang berani mati,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Keselamatan ASEAN Persatuan Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP), di sini, hari ini.

Katanya, apa yang berlaku ke atas rakyat Palestin boleh berlaku ke atas pelarian Rohingya kerana ada kalangan mereka sudah berputus asa dan melihat tiada jalan lain selain “berjihad” dengan cara Daesh bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya berjaya mengusir empat individu terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh yang merancang melakukan serangan di Rakhine, Myanmar pada tahun 2015.

“Berdasarkan risikan dan maklumat kita membuat tangkapan di negara ini sebelum mengusir mereka pulang ke negara masing-masing,” katanya yang hadir sebagai panel pada simposium dua hari itu.

Berita Harian X