Rabu, 29 Ogos 2018 | 7:31pm
KERUSI dan meja terbalik akibat dilanda ribut di sebuah kedai makan, FELDA Jengka 19.
KERUSI dan meja terbalik akibat dilanda ribut di sebuah kedai makan, FELDA Jengka 19.

Peniaga cemas kerusi meja terbang

MARAN: “Saya cemas apabila angin kencang secara tiba-tiba menerbangkan kerusi dan meja,” kata peniaga kedai makan, Rohani Bakar, selepas kedai makan miliknya rosak akibat dilanda ribut di FELDA Jengka 19, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu selepas dia dan pelanggan sempat menyelamatkan diri.

Rohani, 45, ketika dihubungi berkata, hujan diikuti angin kencang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan dia tidak sempat menyimpan kerusi dan meja makan.

Katanya, angin kencang itu menyebabkan kerusi dan meja terbalik di atas jalan sebelum dia bergegas menyelamatkan diri kerana bimbang berlaku kejadian buruk.

“Saya bersyukur kerana semua pelanggan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, berkata beberapa kawasan di FELDA Jengka 10 dan 18 mengalami kerosakan teruk akibat bumbung tercabut.

“Saya menasihatkan mangsa yang terjejas akibat ribut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran,” katanya.

Berita Harian X