Ahad, 9 September 2018 | 9:03am
SEBANYAK 35 rumah papan di Kampung Gelam, berhampiran bandar Sandakan, musnah dakam kebakaran kira-kira jam 1.40 tengah malam tadi. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Bapa melecur selamat anak dalam kebakaran

SANDAKAN : Seorang lelaki melecur di belakang badan ketika menyelamatkan anak perempuannya yang sedang tidur dalam bilik selepas rumah mereka terbakar di Kampung Gelam, dekat bandar Sandakan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah malam itu, Baginda Ismail, 34, dipercayai terkena serpihan bara api. Isterinya, Jurnalin Moksan, 33, turut terkena serpihan bara api tetapi hanya mengalami cedera ringan di tangan kanan.

Jurnalin berkata, rumah mereka adalah yang pertama terbakar dan ketika itu mereka sekeluarga seramai 12 orang sedang tidur.

“Saya terkejut suami memberitahu rumah kami terbakar dan saya terus mengejutkan semua anak-anak serta ahli keluarga kami yang lain agar segera keluar menyelamatkan diri.

“Kami tidak dapat gunakan pintu depan kerana ketika itu api sudah terlalu marak. Saya kemudian mengambil keputusan masuk ke tandas di belakang rumah lalu memecah dinding dan keluar melalui lubang dinding berkenaan.

“Ketika itu, kami tersedar anak sulung saya berusia 12 tahun sedang tidur di biliknya. Suami saya kemudian masuk semula untuk menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Jurnalin berkata, sejurus kejadian suaminya bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kami semua tinggal sehelai sepinggang kerana tiada sebarang harta benda dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, seorang warga tua, Aida Yusuf, 60, hanya mampu menahan sebak dan bersabar apabila rumah mereka terbakar buat kali ketiga.

“Kejadian pertama pada tahun 2003 ketika kami tinggal di Kampung Ramai-Ramai dan kejadian kedua pada tahun 2015 di Kampung Karamunting.

“Kali ketiga, sekarang ini. Setiap kali terbakar, semua barang kami mesti hangus. Tiada yang sempat kami selamatkan.

“Ketika kejadian tadi, makcik cuma sempat bawa beg berisi dokumen penting. Mulanya makcik ingat bunyi bising anak pulang kerja, tapi bila keluar rumah, api sudah besar,” katanya.

Aida berkata, dia sangat berharap diberikan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana mereka tidak pernah diberikan walaupun menjadi mangsa kebakaran sebanyak dua kali sebelum ini.

Berita Harian X