Rabu, 12 September 2018 | 2:39pm
MOHD Halin Jabar (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Parit, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya pada akhir bulan lalu. - Foto L Manimaran
MOHD Halin Jabar (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Parit, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya pada akhir bulan lalu. - Foto L Manimaran

Pengawal keselamatan dituduh bunuh rakan sekerja

PARIT: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya pada akhir bulan lalu.

Mohd Halin Jabar, 52, didakwa melakukan kesalahan itu yang menyebabkan kematian Masri Pandak, 37, di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd, Taman Farmaseutikal di Seri Iskandar, dekat sini, pada jam 7.55 malam 31 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Mohd Fitri kemudian menetapkan 31 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa.

Terdahulu, Mohd Halin mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki senjata api tanpa kebenaran di Mahkamah Sesyen Ipoh, pagi tadi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

NSTP sebelum ini melaporkan bahawa suspek ditahan polis di Telok Bakong, Lambor Kanan, Bota, 2 September lalu, kerana disyaki membunuh rakan sekerjanya yang ditemui maut dengan kesan tembakan di dada kiri.

Polis turut merampas pistol jenis Walther PPK, satu kelopak mengandungi 49 peluru dan satu balutan plastik mengandungi peluru.

Selain itu, polis merampas pistol tiruan berwarna kelabu jenama Pietro Baretta Garoone VT buatan Itali, satu kelopak peluru kosong, sarung pistol berwarna hitam dan dua kotak plastik lutsinar masing-masing berisi 100 bebola besi, dalam serbuan sehari sebelum suspek ditahan.

Berita Harian X