Jumaat, 14 September 2018 | 12:11pm
KEADAAN Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 70.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Pendang, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Hancur digilis kereta

PENDANG: Identiti seorang mangsa kemalangan gagal dikenal pasti apabila mayatnya hancur, termasuk pada bahagian muka, akibat dilanggar dan diseret beberapa kenderaan di Kilometer 70.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata siasatan awal di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikatakan cuba menyeberang lebuh raya berkenaan sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza lalu terpelanting ke tengah laluan.

Susulan itu, katanya, mangsa turut dilanggar dan digilis beberapa kenderaan lain sehingga mayat hancur.

Ketika kejadian, beliau berkata, MPV terbabit yang dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anak mereka dari Alor Setar menuju ke Sik, sedang dipandu di lorong paling kanan.

“Pemandu MPV berkenaan dipercayai gagal mengesan mangsa yang dikatakan cuba menyeberang lebuh raya sehingga menyebabkan perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, pemandu Perodua Alza itu, Konstabel Mohd Afami Azizan, 31, yang bertugas di Bukit Aman, bersama isteri, Norashikin Abd Razak, 30, dan anak sulung mereka, Afrina Zuhaira Moha Afami, 5, tidak cedera.

“Bagaimanapun, anak bongsu mereka, Fatin Hanina, 3, luka di bahagian muka akibat kemalangan itu,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk membuat laporan dan memudahkan pihaknya mengesan waris mangsa.

Berita Harian X