Selasa, 18 September 2018 | 5:54pm
PEGUAM Muhammad Farhan Muhammad Shafee hadir bagi proses pembayaran jaminan terhadap bapanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - Foto BERNAMA
PEGUAM Muhammad Farhan Muhammad Shafee hadir bagi proses pembayaran jaminan terhadap bapanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - Foto BERNAMA

Muhammad Shafee bayar baki ikat jamin

KUALA LUMPUR: Peguam terkemuka, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, membayar ikat jamin RM500,000 di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini, selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Khamis lalu, atas empat tuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Bayaran itu susulan perintah Mahkamah Sesyen di sini, yang membenarkan permohonan peguam Harvinder Singh, yang mewakili Muhammad Shafee supaya jaminan sebanyak RM500,000 dibayar pada Khamis lalu dan baki selebihnya diselesaikan pada hari ini.

Hakim Azura Alwi sebelum ini membenarkan Muhammad Shafee diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan dua pasport antarabangsa dan diplomatik miliknya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee tidak hadir ke mahkamah hari ini dan bayaran ikat jamin diuruskan anak lelakinya, Muhammad Farhan, kira-kira jam 1.30 tengah hari di kaunter bayaran jamin oleh dua penjamin terdiri daripada rakan dan ahli keluarganya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Shafee didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, di sini, pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi dua pertuduhan berkaitan Akta Cukai, Muhammad Shafee didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi daripada aktiviti haram dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya, yang mana dia dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Muhammad Shafee didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Berita Harian X