Ahad, 30 September 2018 | 7:01pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pegawai kanan bomba ditahan miliki, positif dadah

AMPANG: Seorang pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditahan polis selepas didapati memiliki sejumlah dadah syabu selain turut positif mengambil dadah.

Suspek ditahan polis ketika ditemui dalam keadaan mencurigakan di Jalan Wangsa 5A, Bukit Antarabangsa, di sini, pada jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata anggota polis cawangan kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan lelaki berusia 37 tahun itu sebelum memeriksa beg dibawa suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui paket plastik lut sinar mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis syabu seberat hampir 80 gram.

“Susulan itu, suspek dibawa ke cawangan narkotik IPD Ampang Jaya untuk menjalani ujian air kencing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap suspek kemudian didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952,” katanya.

Berita Harian X