Selasa, 2 Oktober 2018 | 11:46am
Sebutan semula kes Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kanan) menerima wang hasil pengubahan wang haram dan mengemukakan penyata LHDN yang tidak benar di Mahkamah Sesyen KL. - Foto Mahzir Mat Isa
Sebutan semula kes Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kanan) menerima wang hasil pengubahan wang haram dan mengemukakan penyata LHDN yang tidak benar di Mahkamah Sesyen KL. - Foto Mahzir Mat Isa

Kes Shafee ditangguh 8 Oktober

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan peguam terkemuka Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta ditangguhkan ke 8 Oktober ini.

Ia berikutan, pasukan pembelaan Muhammad Shafee sudah mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan ia akan didengar esok.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pihaknya sudah memfailkan permohonan itu pada 24 September lalu.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh Isnin depan untuk Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah berhubung perkembangan kes itu.

Terdahulu, Rozina memerintahkan pihak pendakwaan memberi dokumen yang diperlukan kepada pasukan pembelaan dalam tempoh dua minggu.

Beliau turut menegur tindakan Muhammad Shafee yang hadir lewat ke prosiding mahkamah sedangkan kes sepatutnya bermula jam 9 pagi.

Harvinder memohon maaf berhubung perkara itu menjelaskan bahawa anak guamnya perlu ke klinik sebelum ke mahkamah, pagi tadi.

Sementara itu, Harvinder ketika ditemui berkata, berbanding dengan kes Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) biasa, kes ini akan turut menyentuh beberapa isu perlembagaan dan bayaran upah peguam.

Muhammad Shafee ketika ditemui di luar mahkamah berkata pula berkata pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram yang dihadapinya itu.

Berhubung dokumen yang diperlukan, Muhammad Shafee berkata, setakat ini pendakwaan hanya menyerahkan kenyataan beramaran dan bank dokumen kepada pembelaan.

Menurutnya permohonan itu akan dilakukan selepas kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan membuat penyata tidak betul dengan tidak memaklumkan RM9.5 juta jumlah pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azura Alwi.

Muhammad Shafee didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil aktiviti haram melalui cek milik Datuk Seri Najib Razak dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, J2 dan K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berhadapan dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim pada 3 Mac 2015 dan pada 29 Jun 2015.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. (AMLATFPUAA).

Beliau berhadapan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Mahkamah membenarkan Muhammad Shafee diikat jamin RM1 juta.

Berita Harian X