Rabu, 3 Oktober 2018 | 10:02am
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim. - Foto Hamzah Osman

Cinta tokan dadah

LANGKAWI: Polis menahan sepasang kekasih disyaki menjadi ‘tokan’ bersama dadah jenis heroin di sebuah rumah di Kampung Bohor Masjid, Mukim Kedawang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kedua-dua suspek berusia 20 dan 18 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 6 petang.

“Hasil pemeriksaan di bilik rumah itu kita menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan terlarang disyaki dadah jenis heroin seberat 92.05 gram.

“Dalam serbuan itu, kedua-dua suspek yang juga penduduk tempatan bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, terdahulu ketika pemeriksaan dilakukan, kedua-dua suspek sedang berehat di dalam rumah dengan pintunya dikunci dari dalam.

“Ekoran itu, polis terpaksa membuka pintu bilik menggunakan peralatan khas yang dibawa.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek tiada pekerjaan tetap dan dipercayai melakukan kegiatan haram itu sebagai punca pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, pasangan kekasih itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X