Rabu, 3 Oktober 2018 | 11:29am

Kes Muhammad Shafee dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan pengubahan wang haram dan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, diarah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Datuk Azman Abdullah mengarahkan kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas membenarkan permohonan Muhammad Shafee yang diwakili peguam Harvinderjit Singh.

Azman dalam keputusannya berkata, ia berikutan terdapat persetujuan di antara kedua-dua pihak.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bagi pihak pendakwaan memberitahu mahkamah, pihaknya tiada sebarang bantahan terhadap permohonan Muhammad Shafee untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Muhammad Shafee turut hadir di mahkamah hari ini.

Afzainizam ketika ditemui pemberita selepas prosiding, berkata surat daripada pendakwaan yang tidak membantah permohonan itu dikemukakan kepada mahkamah pada 28 September lalu.

Beliau berkata, pada peringkat ini semua pihak akan menunggu sebutan di Mahkamah Sesyen untuk memaklumkan perkembangan terbaru.

Mahkamah Sesyen semalam menetapkan 8 Oktober ini bagi sebutan kes itu.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak hasil aktiviti pengubahan wang haram dan membuat penyata tidak betul kepada LHDN.

Muhammad Shafee didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke Mahkamah Tinggi untuk permohonan memindahkan kes pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur . NSTP/MAHZIR MAT ISA. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke Mahkamah Tinggi untuk permohonan memindahkan kes pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur . NSTP/MAHZIR MAT ISA. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X