Khamis, 4 Oktober 2018 | 3:51pm
KELUARGA arwah Yahya Ali memohon penerbangan ihsan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.
KELUARGA arwah Yahya Ali memohon penerbangan ihsan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.

Keluarga mohon penerbangan ihsan TUDM bawa balik jenazah

SIBU: Keluarga arwah Yahya Ali, 24, anggota Bomba dan Penyelamat yang terkorban dalam operasi menyelamat seorang remaja di Puchong, Selangor malam tadi, memohon penerbangan ihsan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk membawa pulang jenazahnya ke Sarawak hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii yang dihubungi mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, belum ada jangkaan masa ketibaan pesawat itu di Lapangan Terbang Sibu.

“Masih menunggu jadual penerbangan kapal terbang TUDM,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Jenazah seterusnya akan dibawa ke kampung halamannya di Kampung Tian, Matu di Bahagian Mukah untuk disemadikan.

Yahya adalah seorang daripada enam anggota Bomba dan Penyelamat yang terkorban dalam operasi menyelamat remaja itu yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di sebuah lombong di Puchong malam tadi.

Berketurunan Melanau Islam, arwah yang masih bujang sudah berkhidmat selama empat tahun dan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.

Tiga lagi rakan setugas mangsa dari balai itu yang terkorban dalam kejadian berkenaan ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, manakala dua lagi mangsa ialah Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.

Mereka adalah anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang lemas akibat terbelit tali di dasar lombong akibat pusaran arus deras berpunca daripada hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam.

Berita kejadian pada kira-kira 9.15 malam itu menarik perhatian ramai netizen di laman sosial Facebook di mana selain berkongsi kesedihan dan doa, mereka menggelarkan enam penyelam berkenaan sebagai wira negara. – BERNAMA

Berita Harian X