Ahad, 7 Oktober 2018 | 7:35pm
Datuk Mahfuz Omar (kanan) menziarahi Shahmiza Salleh dan kedua ibu bapa Allahyarham di Taman Jaya, Lukut, hari ini. - Foto BERNAMA
Datuk Mahfuz Omar (kanan) menziarahi Shahmiza Salleh dan kedua ibu bapa Allahyarham di Taman Jaya, Lukut, hari ini. - Foto BERNAMA

Balu Adnan lega anak faham ayah sudah tiada

PORT DICKSON: “Setiap hari saya ingatkan mereka (dua anak) yang ayah sudah tiada dan tidak akan kembali lagi,” kata Shahmiza Salleh, 32.

Isteri anggota bomba Adnan Othman, 33, yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lemas di sebuah lombong di Puchong malam Rabu lalu itu berkata, beliau bersyukur dua anaknya memahami situasi dan tidak meragam.

Shahmiza berkata, beliau setiap hari akan mengingatkan anak sulung, Nur Aishah Damia, 4, yang sangat rapat dengan arwah bapanya bahawa bapanya itu sudah tiada.

Katanya, beliau bersyukur kedua-dua anaknya iaitu Nur Aishah dan Nur Aliyah Maisarah, 2, seolah memahami mengenai kematian bapanya.

“Alhamdulillah, saya tiada masalah menguruskan anak-anak saya kerana di sini (rumah mentua) ramai kawan dan mereka leka bermain. Setakat ini, mereka belum cari ayah.

“Namun, saya sentiasa mengingatkan anak saya yang ayah mereka sudah tiada dan tidak akan kembali lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarga mentua di Taman Jaya Lukut, di sini, hari ini.

Terdahulu, Shahmiza menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang meluangkan masa selama kira-kira 30 minit bersama keluarga mangsa.

Semalam, beliau turut menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Selangor terkorban ketika melakukan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan lombong berkenaan

Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota balai bomba dari Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi, anggota dari balai bomba Shah Alam adalah Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Berita Harian X