Rabu, 10 Oktober 2018 | 2:59pm
Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Mustafa Bakri Salleh (dua dari kiri) menunjukan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian. - Foto Togi Marzuki
Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Mustafa Bakri Salleh (dua dari kiri) menunjukan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian. - Foto Togi Marzuki

2 buruh berdepan hukuman gantung kes dadah

PONTIAN: Dua buruh lelaki berdepan hukuman gantung selepas didapati memiliki dadah ketika ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kukup dan Tanjung Piai, dekat sini.

Kedua-dua lelaki itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, jam 2.30 petang kelmarin dan jam 1.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata dalam serbuan pertama, polis menahan lelaki berusia 40 tahun sebelum hasil pemeriksaan menjumpai dadah disyaki heroin seberat 20.3 gram bernilai RM500 di sebuah rumah di Kampung Sungai Durian, Kukup, jam 2.30 petang kelmarin.

Katanya, hasil saringan awal mendapati lelaki itu positif morfin dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 23 rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya pada sidang media di IPD Pontian, di sini, hari ini.

Mustafa Bakri berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 56 tahun di sebuah kebun sawit di Kampung Sungai Belukang, Tanjung Piai, Kukup, jam 1.45 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui lima bungkusan plastik berisi heroin seberat 150.3 gram bernilai RM4,000 dan suspek mempunyai 10 rekod lama atas kesalahan sama.

“Saringan awal ujian air kencing juga mendapati suspek positif morfin,” katanya sambil menambh suspek kedua turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah milik kedua-dua suspek itu dipercayai untuk diedarkan di kawasan masing-masing.

Dalam kes lain, Mustafa Bakri berkata, polis menahan seorang lagi buruh lelaki berusia 29 tahun di rumahnya di Jalan Hassan, Permas Kukup bersama ganja seberat 114 gram yang bernilai RM200, jam 12.30 tengah malam kelmarin.

“Suspek yang mempunyai lima rekod kesalahan sama juga positif ganja dan ditahan mengikut Seksyen 39A(2) ADB yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan 10 sebatan,” katanya.

Berita Harian X