Rabu, 10 Oktober 2018 | 4:35pm

Dipenjara 29 tahun, 20 sebatan rogol anak tiri, sumbang mahram

PETALING JAYA: Seorang bapa dihukum penjara 29 tahun serta 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram dan merogol anak tirinya sejak empat tahun lalu.

Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 51 tahun yang didakwa melakukan kedua-dua perbuatan berkenaan di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, dekat sini, antara 2014 hingga 26 Ogos lalu.

Tertuduh dihukum penjara 14 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan merogol, serta penjara 15 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan sumbang mahram.

Mahkamah memerintahkan bapa tiga anak itu menjalani hukuman penjara terbabit secara berasingan, bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak tiri berusia 19 tahun, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan mangsa sama yang ketika kejadian berumur 15 tahun.

Bagi pertuduhan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan sumbang mahram pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(A) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376B kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika mangsa berusia 15 tahun, mangsa yang sedang tidur di dalam biliknya didatangi tertuduh yang menggunakan kunci pendua sebelum terus menghempap badan dan merogol mangsa.

Kejadian itu berlanjutan hingga mangsa berusia 19 tahun dan berlaku sekali sebulan.

Mangsa yang tidak tahan diperlakukan sedemikian kemudian mengadu kepada kakaknya, sebelum dibawa ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan koyakan lama pada kemaluan pengadu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor tertuduh sebagai ketua keluarga seharusnya melindungi mangsa dan bukan merosakkan masa depannya.

“Kes ini adalah yang paling jijik pernah saya kendalikan. Berdasarkan fakta kes yang dibaca, mahkamah juga tidak dapat mengira berapa kali perbuatan itu sudah dilakukan tertuduh terhadap mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan ada tiga anak masih kecil, selain isteri yang tidak bekerja.

Berita Harian X