Isnin, 15 Oktober 2018 | 7:52pm

Nyaris maut dengan 3 das tembakan

PETALING JAYA: Seorang lelaki nyaris maut selepas ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian tembakan di Persiaran Tropicana, Kota Damansara, di sini petang ini.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 35 tahun ditembak seorang lelaki selepas keluar membeli rokok di kedai serbaneka.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mangsa ketika itu berjalan seorang diri selepas keluar dari kedai terbabit.

“Mangsa kemudian ditembak oleh seorang lelaki, setakat ini polis percaya mangsa ditembak dengan tiga das tembakan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakan mangsa untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Zani berkata, keadaan mangsa kini stabil dan pihak polis sedang mengambil keterangan daripada mangsa.

“Motif kejadian berhubung kejadian masih dalam siasatan. Berdasarkan siasatan suspek dipercayai menaiki sebuah kereta putih.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X