Rabu, 17 Oktober 2018 | 4:05pm
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah menyampaikan ucapan pada Simposium Pemerkasaan Integriti, Forum Bicara Integriti, Akuantibiliti Kominiti Dalam Memerangi Dadah yang diadakan di Dewan Akasia, Ibu Pejabat AADK, Sungai Merab, kelmarin. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

25,922 penagih berulang tahun lalu

KUALA LUMPUR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti 25,922 individu dikategorikan sebagai penagih berulang di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata jumlah sebenar keseluruhan penagih berulang di seluruh negara mungkin lebih ramai berikutan ada di antara mereka gagal dikesan pihaknya.

“Pada tahun lalu, seramai 25,922 penagih berulang dikesan di seluruh negara, manakala bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini pula seramai 13,152 penagih berulang dikesan.

“Kami menjangkakan lebih ramai individu yang dikategorikan sebagai penagih berulang di luar sana yang tidak dikesan oleh AADK,” katanya ketika berucap pada Majlis Simposium Pemerkasaan Integriti di Ibu Pejabat AADK di Sungai Merab, Bangi, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, pihaknya yakin penagih yang melalui proses pemulihan dijalankan Bahagian Rawatan, Pemulihan dan Perubatan AADK adalah bersih serta tidak bergantung kepada dadah.

“Bagaimanapun, ramai juga penagih selepas dibebaskan daripada pusat pemulihan mengulangi kegiatan itu.

“Ini menunjukkan ada yang tidak kena dalam sistem sokongan selepas tempoh pemulihan terutama dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, antara program yang giat dijalankan oleh AADK adalah Kempen Perangi Dadah Habishabisan dengan pelaksanaan pelbagai program bersama komuniti dalam usaha menangani masalah itu.

“Buat masa ini, usaha bertumpu kepada aktiviti ‘pembersihan’ 178 kawasan berisiko tinggi yang terbabit dengan kegiatan dadah di seluruh negara.

“Dalam masa terdekat, kami akan memuat naik senarai lokasi itu dalam laman sesawang AADK untuk perhatian semua pihak termasuk media. Kami mahukan masyarakat mengetahui dan bersama-sama membuat sesuatu untuk ‘membersihkan’ kawasan mereka,” katanya.

Berita Harian X