Khamis, 25 Oktober 2018 | 4:22pm
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah ketika sidang media pengumuman kawasan berisiko tinggi permasalahan dadah di Agensi Antidadah Kebangsaan, hari ini. - Foto BERNAMA

12 lokasi zon merah turun status - AADK

BANGI: Sebanyak 12 lokasi di seluruh negara berjaya diturunkan status daripada zon merah iaitu kawasan berisiko tinggi permasalahan dadah kepada zon kuning dan hijau.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya mengenal pasti 178 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi permasalahan dadah.

“Daripada jumlah itu, kami menyemak semula status 14 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi dalam Program Perangi Dadah Habis-Habisan 1.0 yang dilancarkan pada 2016, baru-baru ini.

“Antara lokasi yang berjaya diturunkan status kepada zon kuning adalah Kangar, Perlis; Kuala Kedah, Kedah; Kepala Batas, Pulau Pinang; Sitiawan, Perak; Petaling Jaya, Selangor, Pantai Dalam, Kuala Lumpur; Rompin, Negeri Sembilan; Gong Badak, Terengganu; Kuantan, Pahang dan Bandar Kuching (Semariang), Sarawak.

“Sementara itu, dua lokasi iaitu Merotai, Sabah dan Tanjung Keling, Melaka bertukar status menjadi zon hijau, manakala, Pasir Mas, Kelantan dan Pasir Gudang, Johor masih dikategorikan sebagai zon merah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AADK di Sungai Merab, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya juga mengenal pasti 479 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang termasuk dalam lingkungan 178 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi permasalahan dadah di seluruh negara.

“Bagi tempoh Januari hingga September lalu, seramai 17,203 penagih baru dan berulang dikesan AADK sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 12.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Justeru itu, AADK melaksanakan pelbagai program membanteras penyalahgunaan dadah termasuk Program Perangi Dadah Habis-Habisan dilancarkan pada 2016 yang kini berjaya mengenal pasti keseluruhan 178 lokasi berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Zulkifli mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas dadah berjumlah RM421 juta bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“Jumlah direkodkan itu meningkat sebanyak 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu menunjukkan masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah adalah perkara serius yang perlu ditangani segera.

“Kepentingan meningkatkan kepekaan masyarakat dalam menangani masalah dadah adalah perlu kerana negara kerugian tenaga kerja produktif iaitu lingkungan 19 hingga 40 tahun.

“Kami mengenal pasti lebih 100,000 penagih dari 2014 hingga September lalu. Berdasarkan anggaran gaji minimum RM1,000 bagi setiap individu terbabit akan menyebabkan kerugian terhadap negara lebih RM1 billion setahun kerana aliran wang berkenaan terpaksa diberikan kepada pekerja asing,” katanya.

Berita Harian X