Khamis, 25 Oktober 2018 | 5:05pm
Peguambela kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir
Peguambela kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pengurusan kes Muhammad Shafee 5 Disember 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Disember ini untuk pengurusan kes membabitkan pengubahan wang haram dan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Azman Abdullah selepas Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan terdapat beberapa dokumen masih belum diserahkan kepada pihak pembelaan dan memohon satu tarikh pengurusan kes.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee bagaimanapun tidak membantah permohonan berkenaan.

Pada 3 Oktober lalu, mahkamah mengarahkan kes dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas membenarkan permohonan Muhammad Shafee melalui peguamnya berikutan ada persetujuan antara kedua-dua pihak terbabit.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada kegiatan haram melalui cek milik (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Dia didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, J2 dan K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berhadapan dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada kegiatan haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim pada 3 Mac 2015 dan pada 29 Jun 2015.

Bagi perbuatan itu, dia berhadapan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil kegiatan haram.

Berita Harian X