Jumaat, 26 Oktober 2018 | 5:15pm
Dua klien Pusat Rawatan dan Pemulihan Narkotik (CCRC) Jelebu hanya sempat melarikan diri selama sejam sebelum dicekup semula ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Jelebu. - Foto Abnor Hamizam

Tahan semula sejam selepas lari

JELEBU: Dua klien Pusat Rawatan dan Pemulihan Narkotik (CCRC) Jelebu ditahan semula selepas sejam melarikan diri ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Jelebu, di sini, hari ini.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu ditemui semula di sebuah premis berdekatan hospital berkenaan, pada jam 11.30 pagi.

Terdahulu, katanya, dua klien itu bersama tujuh yang lain dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan pada jam 10.30 pagi dengan dipantau sekumpulan anggota dan pegawai CCRC.

Katanya, kesemua mereka perlu menjalani pemeriksaan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan mereka adalah penghuni baharu.

“Ketika menunggu pakar perubatan, dua klien terbabit meloloskan diri dan menyedari kehilangan mereka, pegawai CCRC terus mengesan dan menemui mereka bersembunyi di sebuah premis berdekatan,” katanya.

Sumber itu berkata, kesemua klien berkenaan dimasukkan ke CCRC Jelebu sejak tiga bulan lalu selepas ditahan kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Pengarah CCRC Jelebu, Suhaimi Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan.

Berita Harian X