Selasa, 30 Oktober 2018 | 5:47pm
SEORANG peniaga dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku salah merogol anak saudara isterinya, empat tahun lalu. - Foto Fitri Nizam

Peniaga rogol anak saudara dipenjara, sebat

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku salah merogol anak saudara isterinya, empat tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 45 tahun selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun.

Tertuduh yang juga bapa kepada tujuh anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kosong dalam kebun durian di Jerteh, Besut, antara jam 5.30 petang hingga 6 petang, pada 13 Mei 2014.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X