Rabu, 31 Oktober 2018 | 4:13pm
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Sanggup lari tinggal anak isteri elak ditahan polis

KUALA TERENGGANU: Seorang suspek pecah masuk sebuah kedai gambar di Gong Badak, Kuala Nerus, dekat sini tergamak meninggalkan isteri dan anaknya berusia empat tahun selepas ‘tembelangnya’ menjual barangan curi kepada pelanggan terbongkar.

Suspek yang dikenali sebagai Abdul Rahim Alias, 41, kini diburu polis selepas dipercayai mendalangi kes pecah masuk kedai gambar dan mencuri kamera, sebelum menjualnya di laman sesawang mudah.my pada 17 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, berkata suspek dipercayai mencuri sebuah kamera lensa reflek tunggal digital (DSLR) model Canon 50D dari kedai berkenaan, sebelum memuat naik iklan di laman sesawang jual beli, mudah.my.

Beliau berkata, modus operandi suspek terbongkar apabila pemilik kedai gambar berkenaan membuka laman sesawang itu untuk membeli kamera baharu sebagai menggantikan kamera yang dicuri.

“Bagaimanapun, ketika menyedari iklan berkaitan kamera itu dimuat naik ke laman sesawang berkenaan, mangsa kemudian ‘memancing’ penjual terbabit untuk bertemu kerana berminat membeli kamera yang dijual dengan harga RM1,300.

“Selepas persetujuan dicapai, mangsa ke sebuah pasar raya di Jalan Hiliran, di sini, sebelum didatangi seorang wanita yang membawa kamera DSLR berkenaan bersama anaknya.

“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya menghubungi polis apabila benar-benar yakin bahawa alat digital itu adalah miliknya yang dicuri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Suffian berkata, wanita terbabit sempat menghantar SMS kepada suaminya yang menunggu di dalam kereta di luar pasar raya berkenaan, sekali gus memberi peluang suspek melarikan diri.

“Hasil soal siasat mendapati wanita terbabit adalah isteri kepada suspek dan dia tidak mengetahui bahawa kamera yang dibawa adalah barangan yang dicuri oleh suaminya,” katanya.

Suffian berkata, wanita itu yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun direman selama empat hari bermula 22 Oktober lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan mencuri di dalam bangunan.

Berita Harian X