Jumaat, 2 November 2018 | 6:15pm
KEDAI emas di Saujana Impian, Kajang, yang disamun empat perompak. - Foto ihsan pembaca

Pemilik kedai emas rugi RM1.3 juta

KAJANG: Pemilik sebuah kedai emas dalam pasar raya di Saujana Impian, di sini, kerugian kira-kira RM1.3 juta selepas disamun empat lelaki, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.36 pagi tadi, empat suspek dikatakan memakai topi keledar tutup muka penuh dengan bersenjatakan objek menyerupai pistol dan tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.03 pagi tadi.

“Suspek yang bersenjatakan tukul besi dikatakan masuk ke kedai emas berkenaan sebelum melarikan barang kemas pelbagai jenis dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek melarikan diri dengan kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki yang menunggu dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan di lokasi kejadian turut menjumpai dua motosikal ditinggalkan dipercayai digunakan oleh suspek.

“Pemeriksaan terhadap motosikal mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang sebelum ini.

“Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) dipanggil bagi melakukan siasatan di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Video kejadian itu turut tular di laman sosial sejak tengah hari tadi. Dalam video itu, kelihatan seorang lelaki berada di luar premis terbabit sebelum beberapa lagi penjenayah berlari keluar menuju ke pintu masuk pasar raya berkenaan.

Mereka dilihat menaiki sebuah kereta Proton Waja dan meninggalkan dua motosikal di luar premis terbabit.

Pada 11 Mei lalu, kedai emas berkenaan pernah disamun empat penjenayah yang melarikan barang kemas bernilai RM2 juta sebelum mereka ditahan di sebuah premis di Seremban, Negeri Sembilan dalam serbuan jam 3 petang, 14 Mei lalu untuk membantu siasatan kes rompakan berkenaan.

Berita Harian X