Jumaat, 2 November 2018 | 9:16pm
BEKAS eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo. - NSTP/Hafiz Sohaimi
BEKAS eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Justo serah bukti 1MDB kepada SPRM

PUTRAJAYA: Bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini dipercayai bagi menyerahkan dokumen dan fail penting berkaitan PetroSaudi dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber berkata, Justo tiba di Ibu Pejabat SPRM, kira-kira jam 3.30 petang bersama sebuah kotak besar dipercayai mengandungi dokumen berkenaan.

“Dia (Justo) kemudian dilihat meninggalkan bangunan SPRM kira-kira jam 4.20 petang,” katanya.

Justo sebelum ini pernah hadir ke Ibu Pejabat SPRM dipercayai bagi merakam keterangan berhubung skandal kewangan berkenaan.

Beliau pernah memegang jawatan pengarah di PetroSaudi di London antara Februari 2010 hingga April 2011.

Kelmarin, Justo mengakui nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinyatakan beberapa kali dalam 227,000 dokumen yang diterimanya membabitkan skandal 1MDB bagaimanapun, tidak dinyatakan peranan Najib dalam skandal penyelewengan kewangan itu.

Malah, Justo turut mendakwa perjanjian usaha sama antara PetroSaudi dan 1MDB dibuat semata-mata untuk mencuri wang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X